Baginda menyempurnakan pelancaran klinik itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini yang merupakan hasil kerjasama di antara Wakaf Selangor Muamalat dengan Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital KPJ Perdana Kota Bharu dan Hospital Pakar Antarabangsa Beacon Petaling Jaya.

Yang hadir sama mengirin­gi­ ba­ginda sempena pelancaran klinik yang menawarkan pemeriksaan tekanan darah, kencing manis dan penglihatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain itu, turut hadir Pe­ngerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam kenyataan menyatakan bahawa klinik bergerak itu telah memulakan operasi pada tahun ini melibatkan kawasan-kawasan terpilih se­perti masjid, pangsapuri, depot tahanan dan pusat khidmat masyarakat di beberapa buah daerah di Selangor.

“Klinik ini menawarkan ra­watan, antaranya pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, penglihatan, fizikal dan khidmat konsultasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan Wakaf Selangor Muamalat sehingga kini telah menyumbang sebanyak RM8.8 juta dalam membangunkan bidang pendidikan dan kesihatan di Selangor.

Katanya, antara sumbangan kepada pembangunan pendi­dikan di negeri ini termasuklah bangunan sekolah, van serta peralatan pembelajaran seperti projektor.

“Bagi bidang perubatan pula, kita sumbangkan klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen dan pelbagai peralatan perubatan.

“Sumbangan ini diperoleh menerusi program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang dilancarkan pada 27 September 2012,” ujarnya.