Menerusi kenyataan akhbar melalui Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani, Sultan Sharafuddin bertitah supaya mana-mana pihak tidak melibatkan nama baginda dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat. Baginda sebagai Sultan yang memerintah negeri Selangor tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

"Oleh demikian, baginda mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu seumpama ini," katanya.

Terdahulu, tular di laman Twitter seorang pengguna menggunakan nama ASI Ahmad Shuaib Ismail mengatakan "Sultan johor pemangku sultan pahang sultan Selangor turun Himpunan ICERD 8-12-2018 bersama anak Melayu Bumiputera". - UTUSAN ONLINE