SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, Sultan Sharafuddin mahu semua pihak matang, bertanggungjawab dan memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar mengikut amalan demokrasi.

Berikut adalah kenyataan penuh Sultan Selangor:

Beta ingin menarik perhatian sekalian rakyat jelata terhadap senario semasa menjelang PRU-14, Mei ini.

Beta ingin menegaskan bahawa beta dan istana Selangor sentiasa di pihak berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini. Beta tidak ada kaitan dengan apa juga bentuk persaingan politik dan tidak mencampuri urusan politik sama ada di peringkat negeri mahupun negara. Beta juga menegaskan bahawa kedudukan beta sebagai seorang raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik.

Beta sentiasa percaya dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak untuk mewakili mereka, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia ketika ini.

Beta ingin mengingatkan kepada sekalian rakyat terutama di Selangor supaya jangan cuba me­nimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya berjalan.

Beta berharap agar PRU-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan aman tanpa sebarang kekecohan serta huru-hara dalam kala­ngan rakyat.