Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Arif Sultan Sallehuddin; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim berkenan berangkat ke istiadat tersebut.

Turut berangkat, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan isteri, Datin Seri Nora Abdullah serta Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria.

Dilangsungkan dengan penuh tradisi mengikut adat resam kesultanan Melayu, istiadat tersebut dimulakan dengan perarakan masuk air mata air dan air zam-zam diketuai Datuk Jaya Budiman, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali setelah Datuk Bijaya Indera, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengadap dan mendapat limpah perkenan baginda bagi memulakan istiadat.

Kesemua air mata air dan air zam-zam tersebut kemudiannya ditempatkan di pancapersada sebelum dimasukkan ke dalam tiga tempayan iaitu Tempayan Air Siram Taubat, Tempayan Air Siram Selamat dan Tempayan Air Siram Syukur.

Selepas itu, Datuk Andika Raja, Datuk Wira Mohd. Zain Osman mengetuai 10 pegawai tadbir negeri untuk membawa masuk sembilan jenis bunga iaitu cempaka, melur, kesidang, melati, kenanga, lili, mawar, kekwa dan harum malam ke pancapersada sebelum turut dimasukkan ke ketiga-tiga tempayan tersebut.  

Datuk Seraja Setia, Datuk Paduka Rasli Basir dengan diiringi Penghulu Mukim Sungai Petani, Ahmad Fuad Zainol Abidin kemudiannya mengetuai tiga penghulu lain untuk membawa masuk dulang perak berisi sintok, limau dan kemenyan ke pancapersada.

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan perarakan masuk pawai-pawai diraja ke pancapersada yang diketuai Datuk Johan Jasa, Kolonel Datuk Tunku Aziz Bendahara Tunku Nong Jiwa bersama-sama Datuk Tunku Kamaliah Sultan Badlishah dan Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah.

Datuk Bijaya Indera selaku ketua istiadat kemudiannya memohon limpah perkenan sebelum mengiringi baginda berdua naik ke pancapersada dengan diiringi beberapa alat kebesaran antaranya pedang, tombak, lembing dan payung barambu.

Beliau kemudiannya sekali lagi memohon perkenan baginda untuk menjalankan istiadat siram tabal sebelum Tunku Bendahara menabur bunga rampai dan merenjis air mawar ke atas baginda berdua.

Imam Masjid Negeri, Datuk Sheikh Roslan Abdul Halim lalu membacakan doa dan tidak lama selepas itu, lagu nobat 'Gendang Anak' dimainkan.

Serentak itu, Tunku Kamaliah dan Tunku Nafisah memulakan istiadat siraman diikuti siraman terakhir oleh mufti, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Syeikh Fadzil kemudiannya membacakan doa tanda kesyukuran di atas penyempurnaan istiadat sebelum baginda berdua meninggalkan istiadat setelah lagu negeri, Allah Selamatkan Sultan berkumandang.

Pada 20 September lalu, Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan Istiadat Letak Kerja sebagai tanda perkenan Sultan Kedah untuk memulakan istiadat pertabalan baginda.