Serentak dengan itu, baginda kini bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berkenan berangkat menyaksikan istiadat gilang gemilang tersebut diikuti Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan isteri, Che Puan Muda Zaheeda, Tunku Bendahara, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah bersama isteri, Puan Seri Datuk Nora Abdullah.

Berangkat sama Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Laksamana, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Turut berangkat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Haji Hassanal Bolkiah l bersama isteri, Pengiran Anak Sarah Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman; pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz
Petra; pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Selain itu antara mereka yang hadir adalah Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir.

Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairong Seri diiringi para pegawai yang membawa alat kebesaran antaranya cogan agama, cogan alam, cokmar, pedang, tombak dan lembing didahului Datuk Paduka Seri Maharajalela, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin yang bertindak selaku ketua istiadat.

Keberangkatan baginda ke mulanya diiringi dengan alunan selawat sebelum alunan nobat bergema ke serata Balairong Ser.

Sebaik baginda berdua bersemayam di atas singgahsana, ketua istiadat kemudiannya mengadap dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat.

Datuk-datuk bergelar kemudiannya membawa masuk peralatan pertabalan antaranya al-Quran, watikah tuanku sultan, surat perisytiharan, surat sumpah diraja, puan sirih, tengkolok emas, kendi emas, benian yakni sebuah peti yang mengandungi barangan berharga melambangkan kekuasaan dan kekayaan sultan Kedah, bekas perasap kemenyan serta Keris Perkasa Alam yang merupakan keris kerajaan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang kemudiannya mengambil tempat bagi membacakan surah al-Imran Ayat ke-26 sebelum Menteri Besar membacakan watikah perisytiharan baginda.

Syed Unan kemudiannya mempersembahkan al-Quran yang merupakan alat kebesaran kepada Sultan Sallehuddin sebelum baginda dilihat mengucup dan meletakkan naskhah suci tersebut di tempat khas di sebelah tempat baginda bersemayam.

Tidak berakhir di situ, Syed Unan sekali lagi memainkan peranan untuk mempersembahkan surat sumpah diraja kepada baginda.

Sambil para hadirin berdiri, Sultan Sallehuddin kemudiannya melafazkan titah diraja yang antaranya menyatakan sumpah dan ikrar baginda untuk menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan negeri serta semua jajahan takluk mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Selepas itu, Keris Perkasa Alam yang melambangkan kekuasaan, kebesaran dan kedaulatan Sultan Kedah dipersembahkan ketua istiadat kepada baginda. Baginda lalu menghunus keris tersebut lalu mengucupnya.

Ketua Istiadat lalu membuat pengumuman yang baginda telah ditabal sebagai sultan negeri ke-29 dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali.

Paluan nobat kemudiannya kembali bergema disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Raja Muda Kedah lalu mengambil tempat menghadap baginda bagi merafak sembah zahir junjungan tahniah kepada ayahandanya sambil turut melafazkan ikrar untuk sentiasa menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Sallehuddin sebelum mengakhiri titah dengan laungan daulat tuanku sebanyak tiga kali.

Tidak lama selepas itu, giliran Menteri Besar pula menghadap baginda bagi menzahirkan kegembiraan dan sembah tahniah kepada baginda.

Mengakhiri istiadat, mufti negeri membacakan doa sebelum ketua istiadat memohon perkenan untuk menamatkan istiadat.

Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha lalu meninggalkan Balairong Seri dengan diiringi alunan nobat 'Raja Berangkat'.