Keberangkatan baginda ke pusat CPPC yang dibangunkan di kawasan seluas 1,052 hektar dan pada ketinggian 1,500 dari paras laut diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Agroto, Datuk Ahmad Salimin Ahmad Shaffie dan Ketua Pegawai Eksekutif Agroto, Chai Meng Tat.

Agroto merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan hasil usahasama kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Bumper Orchard (M) Sdn. Bhd.

Projek tersebut menggabungkan konsep teknologi pertanian moden dan tradisional melalui penanaman hijau dan secara terbuka.

Agroto turut mengendalikan 202 hektar input ladang dengan penghasilan sekitar 5,000 metrik tan hasil pertanian sebulan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Sementara itu, Ahmad Salimin ketika berucap dalam majlis sama membeirtahu, Agroto adalah sebuah pusat pengeluar sayuran yang lebih teratur kerana diusahakan oleh satu organisasi sahaja.

Malah jelas beliau, pihaknya sentiasa memastikan pembangunan yang dilakukan di kawasan tersebut meminimumkan penero­kaan hutan supaya tidak mengganggu ekosistem tanah tinggi secara keseluruhan.

“Agroto berbeza dengan apa yang dipraktikkan di Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Kelantan kerana di sini diusahakan oleh satu organisasi sahaja, manakala di tempat itu (Cameron Highlands dan Lojing) terlalu banyak pengusaha.

“Hal ini menyebabkan penanaman menjadi tidak tersusun dan berselerak termasuk rancangan penerokaan yang tidak dikawal selia dengan baik,” katanya.

Tambah beliau, Agroto turut mensasarkan pertambahan pengeluaran hasil tanaman sehingga 200 tan metrik sehari atau 6,000 tan metrik sebulan berbanding 50 tan metrik sehari atau 1,500 tan metrik sebulan ketika ini.