ILSM ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bertujuan memperkasakan mo­dal insan sebagai pemangkin utama untuk pengukuhan sesebuah organisasi.

ILSM dibangunkan di kawasan seluas 16 hektar di Sungkai mengikut fasa iaitu fasa pertama bernilai RM47.6 manakala fasa kedua RM7 juta di bawah RMK-10.

Ketika merasmikan ILSM, Sultan Nazrin bertitah, penubuhan institut itu amat bertepatan dalam hasrat mahu memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik.

Baginda bertitah, penubuhannya merupakan satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih, supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang begitu pesat.

“Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memilih Sungkai sebagai tapak institut ini. Sungkai kini mempunyai sebuah institut latihan profesional.

“Semoga institut ini akan terus berkembang hingga diiktiraf sebagai institut latihan bertaraf antarabangsa,” titah baginda.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S. K. Devamany dan Ketua Perangkawan, Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Sultan Nazrin bertitah, pencapai­an sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik.

Titah baginda, statistik dijadikan rujukan untuk memandu kerajaan ketika merangka pelbagai rancangan pembangunan.

“Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya kesilapan perancangan atau kesalahan perumusan keputusan,” titah baginda.