Mula dibina pada 7 Mac 2014, masjid yang diilhamkan oleh Zambry itu bernilai RM11.7 juta dan mempunyai pelbagai hiasan unik di setiap sudut kemasan arkiteknya.

Terdahulu baginda juga merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung, Teluk Baharu di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Exco-exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin.

Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung merupakan antara lima maahad tahfiz dibina di negeri ini, selain di Lenggong (Daerah Lenggong), Tapah (Batang Padang), Semanggol (Daerah Kerian) dan Sungai Siput (Daerah Kuala Kangsar).

Dahulunya sekolah ini yang dibuka pada tahun 2010, dikenali sebagai Maahad Tahfiz Pulau Pangkor dengan hanya 30 murid serta menumpang di Sekolah Rendah Agama di Kampung Masjid.

Pembinaan bangunan baharu pula telah dimulakan dengan majlis pecah tanah dibuat pada 30 Mac 2013 dan siap sepenuhnya kira-kira tiga tahun kemudian dengan kos RM10 juta.

Dibangunkan dengan bercirikan reka bentuk moden, bangunan sekolah itu turut menyediakan ruang pejabat yang ketika ini menempatkan seramai kira-kira 40 kakitangan, 150 pelajar, makmal, tandas dan kantin.

Maahad tahfiz ini memperkenalkan tiga aliran iaitu akademik, hafazan al-Quran dan Al-Azhar.