Baginda bertitah, oleh itu membina insan berintegriti, jujur, amanah dan telus adalah satu kemestian dan kewajipan bukan sahaja untuk mengelakkan musang berbulu ayam, malah untuk memastikan tidak akan ada ayam yang bersifat musang.

“Seramai 435,000 orang guru yang berada di alam sekolah adalah tenaga besar yang boleh memulakan langkah gergasi membendung barah rasuah dengan menyemaikan nilai-nilai memusuhi rasuah dalam kalangan anak didik.

“Sekolah adalah medan tempur penting untuk memenangi minda warga muda. Para guru adalah soldadu yang berada di barisan hadapan dan dipertanggungjawabkan untuk mencanai minda dan membentuk watak warga muda,” titah baginda dalam Majlis Santapan Tengah Hari meraikan warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Titah Sultan Nazrin, input para guru amatlah penting dan tidak boleh disisihkan ketika menggubal dasar-dasar berkaitan pendidikan kerana ilmu peperangan menetapkan bahawa input daripada soldadu yang berada di me­dan tempur lebih berharga daripada andaian para pemikir yang berada di ruang istana.

Baginda bertitah, Putrajaya akan berupaya menggubal dasar yang lebih mantap jika rintihan daripada soldadu bawahan yang bertugas di sekolah-sekolah di Banun dan Kemar, di Trong dan Kuala Sepetang, di Pos Piah dan Pos Legap, di Ulu Geruntum dan Seri Tanjung diberikan pendengaran sewajarnya.

“Jika terdapat jurang yang terlalu jauh di antara realiti di medan tempur dengan andaian di pusat kawalan, dibimbangkan dasar menjadi tempang dan arahan kelihatan songsang,” titah baginda.

Dalam pada itu baginda bertitah, agenda pendidikan sama sekali tidak boleh dikompromi dan kualiti pendidikan tidak boleh dikorbankan kerana negara dibangunkan oleh warganya dan warga dibentuk oleh guru.

Titah baginda, negara yang mengutamakan peranan dan menghargai perkhidmatan guru, meletakkan agenda pendidikan mendahului agenda-agenda lain dan mentakrif perbelanjaan pendidikan sebagai pelaburan yang memberikan pulangan dividen besar, adalah negara yang membina landasan strategik dan wawasan yang bijak.

“Hari ini Malaysia diiktiraf antara negara termaju dalam kalangan negara-negara membangun dan prestasi pencapaian gemilang itu telah dijayakan kerana peranan berkesan sekolah dan guru pada hari semalam,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih serta terhutang budi kepada warga guru yang bukan sahaja besar kepada baginda dan Raja Permaisuri malah kepada putera dan puteri baginda.

Dengan nada sebak baginda bertitah, asuhan ayahanda dan bonda kepada baginda berdua telah diperlengkapkan dengan didikan para guru yang memberi bimbingan dengan penuh dedikasi, komitmen, keikhlasan dan kejujuran.

“Semoga kehidupan saudara-saudari dan ahli keluarga dikurniakan keberkatan Ilahi dengan melimpahkan kejayaan yang cemerlang sebagai ganjaran kepada khidmat bakti mengilmukan anak-anak didik,” titah baginda.