Ketua Pegawai Eksekutif Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius S K Sharma berkata, Sultan Nazrin antara lain menyuarakan panda­ngannya supaya kaedah terbaik dicari bagi melibatkan secara langsung masyarakat Orang Asli di kawasan Belum-Temenggor untuk sama-sama mengambil bahagian dalam usaha memulihara Harimau Malaya.

“Tuanku mahu memastikan banyak pendekatan dilakukan bagi mencari jalan untuk melibatkan masyarakat Orang Asli secara langsung pada peringkat yang tinggi.

“Ini kerana mereka adalah antara komponen penting dalam persekitaran Belum-Temenggor dan jalan terbaik perlu dibuat untuk memastikan dan mengete­ngahkan peranan yang boleh mereka mainkan dalam memulihara habitat harimau.

“Ini titah baginda bagi menjadikan mereka (Orang Asli) lebih fokus dalam peranan yang positif dan bukannya peranan buruk iaitu terlibat sama dalam pemburuan haram,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog berkenaan yang dibuat secara tertutup di sini hari ini

Selain keberangkatan Sultan Nazrin, dialog tersebut turut dihadiri Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim.

Sementara itu, Zambry pada sidang akhbar yang sama berkata, Perak menyasarkan mencapai status sifar pemburuan haram terhadap Harimau Malaya menjelang 2020.

Beliau berkata, tanggungjawab bagi mencapai sasaran itu tidak hanya terletak di bawah kerajaan negeri, tetapi memerlukan penglibatan semua pihak terma­suk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pemuliharaan Harimau Malaya kerana ancaman terbesar dan paling mendesak untuk spesies itu adalah pemburuan dan perdagangan hidupan liar secara haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab

“Oleh itu, kita perlu mencari pendekatan serta kaedah terbaik bagi mencapai sasaran negeri ini berstatus sifar pemburuan haram terhadap Harimau Malaya akan dapat dicapai mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya akan memperhalusi segala cada­ngan yang dikemukakan WWF Malaysia sebelum melaksanakannya dalam usaha untuk memulihara spesies harimau tersebut yang semakin terancam dan hampir pupus.

“Dialog ini merupakan platform untuk mengkaji semula usaha sedia ada dan bergerak ke arah penyelesaian yang lebih inovatif dalam mencapai pemburuan sifar di negeri ini,” katanya.