Titah baginda, apabila undang-undang dimanipulasikan, ia memberi kekebalan kepada pihak-pihak yang memiliki kuasa, memberi kelebihan dan melindungi pihak-pihak yang memiliki kekayaan.

Sultan Nazrin bertitah, perkara ini juga akan menyebabkan prosiding dan proses undang-undang boleh terhalang.

“Apabila terdapat ruang yang terlalu luas, membolehkan undang-undang dimanipulasikan, dikhuatiri, prosiding dan proses undang-undang boleh terhalang, lantas mewujudkan keadaan yang akan memberi kekebalan kepada pihak-pihak yang memiliki kuasa dan memberi kelebihan, melindungi pihak-pihak yang memiliki kekayaan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Konvokesyen ke-24 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi LPQB dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Seramai 664 orang graduan CLP lulus pada tahun lalu dan menerima tauliah masing-masing hari ini.-UTUSAN ONLINE