Istiadat yang bakal diketuai oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti itu akan disertai dengan bacaan doa selamat dan kenduri arwah.

Selain makam Almarhum Sultan Azlan Shah, Sultan Nazrin juga bakal menziarahi tujuh lagi makam sultan-sultan terdahulu yang turut berada di Makam Diraja berkenaan sebelum berangkat pulang ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Tujuh makam tersebut melibatkan pusara Almarhum Sultan Abdullah Muhammad II (Sultan Perak Ke-26), Almarhum Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Sultan Perak Ke-28), Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (Sultan Perak Ke-29), Almarhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak Ke-30), Almarhum Sultan Abdul Aziz Al Mustasim Billah Shah (Sultan Perak Ke-31), Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah (Sultan Perak Ke-32), Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah II (Sultan Perak Ke-33).

Pada sebelah pagi, Sultan Nazrin bersama-sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bakal berangkat menziarahi Batu Peringatan Almarhum Sultan Mansur Shah 1 (Sultan Perak Ke-2) di Masjid Kota Lama Kanan.

Batu peringatan tersebut merupakan sebuah nisan yang didirikan dengan perintah Almarhum Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Sultan Perak Ke-28) bagi memperingati Sultan Mansur Shah yang hilang ketika menunaikan fardu Jumaat di masjid berkenaan.

Namun begitu, Masjid Kota Lama Kanan tersebut telah dibina semula pada tahun 1916 bagi menggantikan masjid asal yang dibakar oleh penjajah Inggeris semasa berlakunya Perang Perak sekitar tahun 1875-1876.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara juga bakal menziarahi makam Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah (Sultan Perak Ke-24) yang diberikan gelaran ‘Marhum Nabi Allah’ di Gedong Siam, Sayong.

Selain itu, kedua-dua baginda juga akan menziarahi makam Sultan Perak Ke-27, Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar yang sempat memerintah Perak selama kira-kira 10 bulan sahaja.

Makam baginda pada asalnya terletak di Sayong Tebing, namun telah dipindahkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah, Kuala Kangsar.