Watikah pemasyhuran baginda sebagai Canselor UUM dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen ke-30 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, di sini.

Pemasyhuran baginda sebagai Canselor UUM ketiga bagi menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada 11 September lalu.

Sultan Sallehuddin turut mengisytiharkan pelantikan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Pro Canselor UUM.

Istiadat Konvokesyen ke-30 yang mempunyai lapan sesi menyaksikan seramai 5,935 graduan yang terdiri daripada 4,439 graduan sarjana muda dan 1,496 graduan pasca siswazah menerima ijazah masing-masing.

UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Tanggungjawab Sosial Korporat kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Fng Ah Seng manakala cef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Seni Kulinari.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata, UUM bakal menubuhkan Kursi Profesor Sultan Abdul Halim sebagai usaha mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Sultan Abdul Halim yang merupakan Canselor UUM selama 30 tahun.

“Penubuhan kursi tersebut diletakkan di bawah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz untuk membangunkan penyelidikan dan memacu penerokaan ilmu dalam bidang tadbir urus.

Menurutnya, Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM2 juta sebagai dana permulaan penubuhan kursi profesor tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE