Keberangkatan baginda pada pukul 9.30 pagi itu diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta barisan exconya.

Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, tazkirah, marhaban dan selawat.

Bertitah pada majlis bertemakan Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara itu, Sultan Kedah menyeru agar rakyat memahami, menghayati dan mempraktikkan segala ajaran yang Rasulullah S.A.W sampaikan kepada umatnya sebagai satu pedoman dan panduan hidup.

“Bahkan, sambutan maulid yang disambut pada saban tahun akan lebih bermakna, jika kita dapat meneladani dan mencontohi tatacara hidup baginda Nabi dalam kehidupan kita sehari-hari.

“Sirah baginda hendaklah disuburkan pada setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia.

“Sambutan maulid yang diadakan bukan sekadar untuk mengisi masa lapang atau melengkapkan taqwim tahunan, bahkan lebih kepada mencapai satu misi yang perlu kita laksanakan, khususnya sebagai khalifah penerus legasi dakwah Nabi hingga Hari Kiamat kelak, “ titah baginda. - UTUSAN ONLINE