Titah baginda, komposisi ahli lembaga pengarah PKNS perlu seimbang dengan kerajaan nege­ri seharusnya membawa masuk golongan profesional agar mereka dapat memberi pandangan serta tunjuk ajar dalam aspek pemba­ngunan.

Pada masa yang sama, Sultan Selangor juga mengingatkan PKNS agar jangan beroperasi di luar bidang kuasa atau me­nyim­pang daripada objektif asal penubuhannya iaitu membantu rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Beta tidak berkenan ahli lembaga pengarah (PKNS) hanya diisi dengan ahli-ahli politik sahaja,” kata Sultan Sharafuddin ketika merasmikan Ibu pejabat PKNS yang baharu di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd. Yusof

PKNS diasaskan oleh bekas Menteri Besar Selangor kelapan, Allahyarham Datuk Harun Idris pada 1 Ogos 1964 bertujuan membantu orang Melayu berpendapatan rendah yang tinggal di Selangor untuk mendapatkan kediaman selesa pada harga mampu milik.

Berdasarkan rekod, daripada 10 ahli lembaga pengarah, empat daripadanya adalah ahli politik iaitu Mohamed Azmin (Pengerusi); Shamsul Iskandar Mohd. Akim (PKR-Bukit Katil); Datuk Iskandar Abdul Samad (Pas-Cempaka) dan Datuk Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang).

Memperincikan lebih lanjut tegurannya itu, Sultan Sharafuddin berkata, PKNS perlu terus memainkan peranannya bukan sahaja sebagai sebuah badan korporat yang bersaing di peringkat global tetapi mesti kekal membantu orang Melayu di Selangor.

Tegas baginda, peranan tersebut perlu terus dimainkan PKNS dengan sokongan kerajaan nege­ri kerana orang Melayu di negeri ini kekal ketinggalan berbanding kaum lain khususnya dalam bidang ekonomi.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum yang ada sekarang ini terus dapat dipertahankan,” titahnya.