JOHOR BAHRU 7 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melepaskan peserta konvoi Lady Bikers Tourism Johor Ride 18 di Istana Pasir Pelangi di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.
Sultan Ibrahim sebelum itu turut berkenan mengambil gambar dengan peserta dan bersarapan pagi bersama-sama mereka.
Konvoi selama tiga hari bermula semalam dari Putrajaya melibatkan 108 penunggang wanita dari seluruh negara dan Brunei merupakan program anjuran Tourism Johor.
Peserta konvoi itu tiba di negeri ini semalam dan akan melawat beberapa tempat menarik di daerah ini sebelum bermalam di Muar malam ini dan berlepas ke Putrajaya dari Desa Keroma Eco Resort di daerah itu esok. - UTUSAN ONLINE