Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berbaju kemeja dan bersongkok di restoran berkenaan kira-kira pukul 7 pagi pada awalnya tidak disedari kerana baginda melangkah memasuki premis tersebut tanpa sebarang protokol.

Ditemani oleh Pegawai Daerah, Ramlee A. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaluddin A. Hamid, Sultan Ibrahim memesan makanan seperti orang biasa dengan hidangan roti canai garing, samosa, capati, keema, kari kambing, halia O ais dan teh tarik ais kurang manis.

Baginda yang kelihatan ceria, meluangkan masa kira-kira 40 minit di restoran itu malah turut berkenan beramah mesra, bersalaman serta bergambar bersama pengunjung yang turut bersarapan sebelum berangkat pulang ke Istana Tanjung di sini.

Salah seorang pengunjung, Md. Usop Derahman, 55, berkata, dia sendiri pada awalnya tercengang dengan kehadiran Sultan Ibrahim namun menyifatkan hari ini sebagai hari bertuahnya kerana dapat bersarapan dengan baginda.

“Semua pengunjung dalam restoran teruja dan seperti tidak percaya dengan keberangkatan baginda yang bersantap seperti orang biasa selain kelihatan gembira walaupun rakyat tahu baginda masih berkabung dan bersedih atas pemergian anakandanya.

“Melihat keadaan ini baginda memang seorang yang tabah dan kuat. Saya sebagai anak jati Muar bangga kerana memiliki sultan berjiwa rakyat seperti Sultan Ibrahim,” katanya ditemui.

Mohd. Sabri Hanif, 30, turut teruja dan merasa sangat selesa kerana tidak ada protokol manakala pengunjung boleh melihat baginda pada jarak dekat selain dibenarkan beramah mesra dan mengambil gambar.

Dalam pada itu, pemilik Restoran Muar Soup House, Amiruddin Shaik Alaudin tidak menyangka baginda memilih restorannya dan mengaku tidak boleh tidur memikirkan persiapan menyambut Sultan Ibrahim.

“Ini kali pertama Sultan Ibrahim datang ke restoran saya dan saya bersyukur kerana berpeluang melihat sendiri kemesraannya bersama rakyat terutama pelanggan, kakitangan saya dan saya sendiri.

“Selain mesra dengan pelanggan, Sultan Johor bersantap pagi tanpa sebarang protokol sekali gus membuktikan baginda sultan berjiwa rakyat. Saya harap Tuanku sudi mencemar duli dan berangkat ke restoran ini lagi kerana kami tidak sempat menyiapkan menu khas sup dan rojak,” ujarnya.

Amiruddin berkata, sebelum ini Allahyarham Tunku Laksamana Johor Tunku Jalil selalu singgah di restorannya setiap kali ke daerah ini dan tidak sangka kali ini dia berpeluang menghidangkan pelbagai juadah kepada Sultan Ibrahim pula.