Baginda meletakan logo MBIP pada struktur Tukun Replika Bangunan Sultan Ibrahim di dasar laut pulau itu dengan menyelam selama 15 minit disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Adib Azhari Daud dan lapan lagi penyelam.

Program tersebut adalah sebahagian daripada pengisian hari kedua program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 di daerah ini dan MPJBT sebagai nama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor Bahru Tengah selepas ini akan bertukar kepada MBIP.

Adib ketika ditemui berkata, inisiatif melabuhkan tukun itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya membantu menambah tukun di perairan Taman Laut Sultan Iskandar.

“Ini sebagai simbolik kepada pra pengisytiharaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Tukun ini merupakan tukun inovasi yang tercatat dalam Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai Struktur Tukun Tiruan Terbesar,” katanya ketika ditemui.

Adib berkata, MPJBT merupakan PBT pertama yang melabuhkan tukun tiruan dan pelancaran logo bawah laut.

Katanya, objektif utama peletakan tukun tersebut adalah menjayakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Mersing melalui pembangunan sektor pelancongan dan perikanan. - UTUSAN ONLINE