Ketuanya, Norul Haszarul Abu Samah berkata, walaupun jawatan Menteri Besar sudah bertukar, namun beliau yakin Sultan Ibrahim sentiasa memberikan kerjasama yang penuh bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

“Selaku Ketua Armada Johor, saya mengharapkan agar seluruh rakyat negeri Johor bersifat terbuka dan matang dalam menghadapi kenyataan ini. Saya amat terkilan apabila polemik ini masih berpanjangan walaupun Sultan Johor telah memberi perkenan atas pelantikan tersebut.

“Ini bukan soal `team' siapa dan papan siapa. Ini soal muafakat cara Johor. Kita bermuafakat di bawah satu payung Sultan Johor. Sekiranya masih ada mana-mana pihak masih memperkatakan soal team mahupun papan, jentera kerajaan akan lembab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (exco) mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim hari ini.

Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai exco mengikut portfolio masing-masing adalah Aminolhuda Hassan; Dr. Dzulkefly Ahmad; Liow Chai Tung; Jimmy Puah Wee Tse; Mohd. Khuzzan Abu Bakar; Dr. S. Ramakrishnan; Sheikh Umar Bagharib Ali; Tosrin Jarvanthi; Tan Cheng Choon dan Mohd. Solihan Badri.

Tambah Norul Haszarul, beliau menggesa mana-mana pihak sama ada pentadbiran Pusat atau sebagainya untuk turut bersama-sama dalam perkara ini dan berhenti bermain dengan sentimen politik yang memecahbelahkan khususnya bangsa Johor.

Katanya, bangsa Johor mempunyai sejarahnya yang panjang dan tersendiri selain tindakan memecahbelahkan ini hanya membuang masa dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya turut meminta seluruh rakyat negeri Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik agar kembali kepada titah Sultan Johor untuk kita sama-sama muafakat dan bersatu. Berhentilah bermain politik dan inilah masa untuk bekerja mengangkat maruah bangsa Johor yang sebenar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE