Baginda yang tiba di Pulau Mensirip pukul 9.10 pagi melakukan selaman dengan ditemani Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Adib Azhari Daud dan beberapa penyelam profesional untuk menandatangani plak logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan melihat tukun replika Bangunan Sultan Ibrahim.

Lebih manis, tukun tersebut turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai ‘Biggest Artificial Reef Structure’.

Idea dan ilham membina tukun replika Bangunan Sultan Ibrahim berukuran 10.6 meter x 9.28 meter lebar dan lima meter tinggi serta 165 tan berat itu adalah cetusan idea Sultan Ibrahim untuk diletakkan di dasar laut.

Majlis penyerahan sijil MBOR disampaikan Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong Hong Wai kepada Adib Azhari sambil disaksikan Sultan Ibrahim.

Usai di Pulau Mensirip, Sultan Ibrahim menerusi jelajah KMJ 2017 dengan merasmikan Mersing Harbour Centre yang merupakan pusat bersepadu dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi menempatkan lebih 50 lot kedai dan kiosk bagi pelbagai produk makanan, minuman dan kraftangan.

Sultan Ibrahim yang tiba kira-kira pukul 12 tengah hari diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anak­anda baginda.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan.

Mersing Harbour Centre yang dibina dengan kos RM12 juta turut dilengkapi tempat letak kereta, kaunter informasi pelanco­ngan, dewan pameran, surau dan taman permainan kanak-kanak untuk kegunaan pelancong dan penduduk tempatan.

Selepas menjelajah dari Johor Bahru ke Kota Tinggi dan Mer­sing semalam, hari ini konvoi menuju ke daerah Kluang.