Baginda yang diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha tiba di istana berkenaan pada pukul 9.20 malam dan disambut oleh Sultan Nazrin sebelum berangkat ke Dewan Santapan.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Yang turut berangkat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuan­ku Munawir dan Tengku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Pengerusi Jemaah Pemang­ku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff mewakili negeri masing-masing.

Majlis santapan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim juga berkenan berangkat di majlis berkenaan.

Di samping itu yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah.

Sebaik Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Anak Saleha serta Sultan Nazrin dan Tuanku Zara memasuki Dewan Santapan, lagu Negaraku serta lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.

Majlis santapan yang dilangsungkan secara tertutup itu kemudian dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan santapan diraja yang dihadiri kira-kira 570 tetamu jemputan.

Persembahan nyanyian oleh penyanyi terkenal tanah air, Da­yang Nurfaizah dan Cakra Khan dari Indonesia memeriahkan lagi majlis santapan yang diadakan bagi meraikan pertabalan Sultan Nazrin.

Rabu lalu, Sultan Nazrin ditabalkan sebagai Sultan Perak manakala Tuanku Zara Salim dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak dalam Istiadat Tabal Adat penuh tradisi yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di Balairung Seri, Istana Iskandariah.