Beliau yang meraih emas kedua Sukma ke-18 menerusi acara platform lelaki hari ini selepas mengumpul sebanyak 349.80 mata, berjanji akan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk terus kekal sebagai atlet kebangsaan.

Pada masa yang sama, penerjun berusia 20-tahun itu turut menerima positif perkembangan sukan terjun di peringkat akar umbi yang mampu mencabar penerjun kebangsaan dalam masa beberapa tahun lagi.

"Prestasi saya memang sangat teruk hari ini, kalau di peringkat antarabangsa, tidak boleh lepasi peringkat separuh akhir pun. Ia kerana saya tidak sihat, demam dan pening.

"Namun saya boleh lihat banyak bakat baharu ... saya berharap mereka akan naik cepat-cepat kerana potensi mereka lebih tinggi daripada kita walaupun jurang jauh beza. Kini penerjun di peringkat akar umbi mempunyai bakat dan jurulatih yang baik pada usia yang begitu muda berbanding masa kami.

"Saya akan berlatih dengan baik, terutamanya untuk meningkatkan ketahanan mental untuk menjaga konsistensi," kata atlet program podium itu, yang turut meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal pada Sabtu lalu.

Sementara itu, penerjun dari Sabah, Jellson Jabillin meraih pingat perak dengan 333.50 mata manakala seorang lagi atlet kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh dari Perak terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas hanya mengutip 306.00 mata.

Selangor meningkatkan koleksi emas acara terjun apabila gandingan Adeline Chin Wei Ling/Koh Hui Yang meraih sejumlah 231.36 mata untuk pingat emas dalam acara 3m papan anjal seirama.

Gandingan Megan Elizabeth Teoh/Ong Ker Yin dari Sabah membawa pulang pingat perak selepas mendapat 228.90 mata manakala gangsa menjadi milik pasangan tuan rumah, Eilisha Rania Abrial Raja Gopal Francis/Kimberly Bong Qian Ping yang jauh ketinggalan dengan 206.79 mata.

Dengan meraih kedua-dua pingat emas yang ditawarkan di kolam terjun pada hari keempat, Selangor yang meraih tiga emas, dua perak dan dua gangsa mengekori rapat pasukan tuan rumah yang berjaya merangkul tiga emas, tiga perak dan lima gangsa diikuti oleh kontinjen Perak yang meraih dua emas dan satu gangsa.

Acara terjun akan menutup tirai esok dengan acara 3m papan anjal wanita, iaitu tawaran pingat emas kesepuluh dan terakhir bagi edisi di Sarawak kali ini. - BERNAMA