Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka akan membantu membersih dan mengecat premis bangunan yang terjejas serta mengagihkan 1,400 pek bantuan keperluan seperti makanan, selimut tebal dan barang keperluan diri.

Antara kawasan yang bakal menjadi persinggahan kumpulan itu termasuk di kawasan terjejas teruk seperti Kepala Batas, Tasik Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

"Fokus kementerian di peringkat pasca banjir iaitu pembaikan infrastruktur dan memastikan kebajikan masyarakat luar bandar diambil perhatian," katanya di majlis pelepasan misi sukarelawan berkenaan, di sini hari ini.

Di samping itu, beliau berkata, pelatih GiatMara akan membantu membaiki motosikal, peralatan elektrik dan pendawaian semula secara percuma dalam usaha membantu mangsa banjir di sana.

Ismail Sabri juga menambah, terdapat beberapa infrastruktur milik kementerian seperti tadika Kemas di sana terjejas akibat banjir tersebut dengan anggaran kerugian kira-kira RM2 juta.

Pada 5 November lepas, sebahagian besar Pulau Pinang mengalami banjir terburuk, mengakibatkan lebih 10,000 keluarga terjejas dan aktiviti harian di ibu negerinya lumpuh. - BERNAMA