Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaan menghidu ancaman militan dan keganasan, namun ia dapat diatasi melalui Tabletop Exercise yang dijalankan sebelum Sukan SEA.

“Saya mengucapkan tahniah kepada PDRM yang telah melakukan yang terbaik.

“Sudah tentunya kejayaan atlet kita memperoleh 145 pingat emas, walaupun bukan disumbang secara langsung oleh PDRM, tetapi keselamatan dan kawalan telah memungkinkan Malaysia mencapai keputusan cemerlang dalam Sukan SEA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama warga Briged Uta­ra Pasukan Gerakan Am (PGA), 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) dan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLGPA) di PGA Ulu Kinta sempena Hari Raya Aidiladha, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah; Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan dan Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada tiga Persatuan Keluarga Polis (Perkep) merangkumi PGA, 69 Komando PGK dan PLGPA selain berjanji untuk menyelesaikan proses naik taraf sistem perpaipan di PGA Ulu Kinta yang telah berusia lebih 50 tahun.