Pelajar dari Sekolah Seri Puteri (SSP), Hasya Atiyah Khairuddin, 17, berkata, sejak tingkatan satu dia suka memberikan pendapat berhubung sesuatu isu.

Ujarnya, sama ada pendapat itu betul atau salah masing-masing bebas memberikan sudut pandang selagi mana masih menghormati orang lain.

“Sejak tingkatan satu saya suka bagi pendapat dan sampaikan idea berhubung sesuatu perkara. Situasi itu juga melatih saya berfikir, memahami dan mampu menganalisis sesuatu perkara.

“Usul yang diberi sepanjang pertandingan ini juga agak baik, namun, sepatutnya usul diberikan lebih bersesuaian dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP),” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini.

Pusingan awal Bahas PPM 2019 kali ke-46 peringkat Zon D itu diadakan di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur di sini selama tiga hari.

Pusingan akhir peringkat kebangsaan akan diadakan di Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Jun nanti.

Tambah Hasya Atiyah, pendebat yang baik adalah orang yang boleh melaksanakan segala peranan sebagai pembahas sama ada daripada segi konsep dibentangkan, hujah serta bidasan.

“Pendebat yang bagus pula adalah individu yang lebih daripada tahap itu dan mempunyai hujah yang sukar dibidas serta strategi pasukan yang sukar dibaca pihak lawan, “ jelasnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menafikan jadual waktu pembelajaran yang padat menyebabkan dia perlu menyusun masa dengan baik.

“Menguruskan masa sudah tentu sangat mencabar pada tahun ini kerana saya juga akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tetapi guru di SSP sangat memahami malah memberi ruang untuk sesi latihan bahas sekiranya ada peperiksaan di sekolah yang perlu diduduki.

“Alumni juga bagi sokongan penuh, nasihat serta bagaimana kami boleh memperbaiki persembahan untuk pusingan seterusnya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE