Jabatan Meteorologi dalam sebuah kenyataan hari ini memberitahu penurunan suhu ini berpunca daripada cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan angin sejuk monsun timur laut.

“Disebabkan keadaan ini, angin kencang melebih 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter juga dijangka berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung sehingga Ahad, 14 Januari 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi menafikan berita tentang suhu rendah sehingga 17 darjah Celsius yang tular sejak malam semalam.

“Suhu minimum yang direkodkan hari ini ialah 21 Celsius di Mersing dan Kuala Pilah manakala kawasan-kawasan lain merekodkan suhu minimum sekitar 22 Celsius yang lazimnya berlaku pada awal pagi,” katanya.

Jabatan Meteorologi turut menjangkakan hujan lebat akan berlaku di kawasan meliputi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Sementara itu, Amaran Cuaca Waspada untuk negeri Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak yang dikeluarkan pada 11 Januari telah ditamatkan. – UTUSAN ONLINE