Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, arahan tersebut mengecewakan pihaknya kerana PDRM tidak menyatakan butiran terperinci memaklumkan kepada Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri bahawa terdapat risiko terhadap keselamatan negara yang berkemungkinan timbul daripada program yang dijadualkan diadakan di Padang Timur Petaling Jaya, di sini.

“Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada Hak Asasi Manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisma sehingga mengakibatkan acara yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, Suhakam memohon maaf kepada orang awam, para jemputan, para peserta dan sukarelawan yangterlibat dalam acara ini.

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berlangsung serentak dengan #DaulatHimpunan 812 dengan tujuan yang sama iaitu berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). - UTUSAN ONLINE