Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, penubuhan RCI itu perlu disegerakan bagi menegakkan keadilan kepada pihak-pihak yang menjadi mangsa dalam tragedi berkenaan.

Malah, ujar beliau, Pas ne­geri ini juga sejak sekian lama mendesak satu siasatan khas dijalankan berhubung tragedi itu dan beranggapan penubuhan RCI yang dibangkitkan ketika ini sebagai tepat pada masanya.

“Banyak pihak terlibat dalam isu tragedi Memali ini yang memerlukan pembelaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, di ALOR SETAR, penceramah bebas, Datuk Syeikh Ahmad Soleh berkata, RCI wajar ditubuhkan untuk mencari kebenaran di sebalik peristiwa itu untuk dijadikan hikmah supaya tidak berulang.

“Tragedi Memali yang berlaku pada 1985 wajar dijadikan teladan, pelajari hikmah daripadanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau bagaimanapunpun berpendapat, sekiranya RCI ditubuhkan hanya untuk sekadar mengungkap kejadian tersebut tanpa mencari kebenaran, maka penubuhan itu tidak perlu.

“Pertimbangan penubuhan RCI itu harus diperhalusi demi mencari kebenaran, bukan perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, anak kepada seorang mangsa kejadian itu, Md. Zuki Md. Arof, 51, berkata, peristiwa yang meragut nyawa bapa­nya, Md. Arof Hashim tidak patut diungkap kembali kerana boleh mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Setelah sekian ia berlalu, jangan disebut lagi kejadian itu kerana melibatkan nyawa bukan sahaja ahli keluarga saya, malah ramai lagi penduduk Kampung Memali.

“Biarlah peristiwa berdarah itu kekal dalam lipatan sejarah, tidak perlu diungkit kembali kerana amat memberikan kesan yang mendalam kepada kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, semua masya­rakat di sini sudah melupakan kejadian tersebut dan ingin hidup dengan aman damai tanpa perlu mengungkit kembali kisah lama yang boleh mengundang kemarahan penduduk setempat.

Peristiwa Memali pada 1985 telah mencetuskan pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk tempatan yang akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama, Ibrahim Libya serta empat orang anggota polis.