Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, bahagian perniagaan Tabung Haji sedang melalui pro­ses pemulihan supaya dapat meneroka bidang perniagaan baharu agar dapat menampung subsidi yang diberikan selama ini.

Tegasnya, Tabung Haji tetap berpegang kepada teras penubuhannya untuk memberi perkhid­matan kepada jemaah dan berharap dapat meningkatkan prestasinya bagi membolehkan subsidi lebih RM12,000 yang diberikan kepada setiap jemaah diteruskan walaupun jumlahnya tinggi.

Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM12,470 bagi setiap jemaah untuk mengekalkan bayaran menunaikan ibadah haji jemaah muassasah kali pertama sebanyak RM9,980 sejak 2009.

“Pun begitu, jumlah RM12,000 adalah lebih tinggi daripada jumlah RM9,980 yang dibayar jemaah.

“Saya doakan bahagian perniagaan dapat barakah dan menambah perniagaan, dengan itu dapat bantu orang kampung. Ini tidak dapat dibuat jika tiada satu usaha oleh bahagian perniagaan untuk tampung (subsidi), me­lainkan rakyat Malaysia sudah mampu, sudah kaya, ketika itu barulah boleh fikir bagaimana untuk kurangkan subsidi kepada mereka. Buat masa ini ia kekal,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Ibu pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.

Kepada soalan seterusnya sama ada kenyataan ‘buat masa ini ia kekal’ itu meliputi subsidi bagi musim haji tahun depan katanya: “Setakat ini terdedah kepada penilaian semula... kita akan lihat dari semasa ke semasa.”

Menteri itu juga berharap sebarang penambahbaikan dilakukan Tabung Haji tidak akan melibatkan kos tinggi supaya dapat menyerap jumlah subsidi berkenaan sebaik mungkin.

Justeru katanya, kerajaan berharap bahagian perniagaan Tabung Haji yang baru-baru ini membuat lantikan baharu ketua pegawai eksekutif serta seterusnya lembaga pengarahnya, dapat meningkatkan prestasi bahagian itu.

“Sebab itu dalam bahagian perniagaan kena betul-betul ama­nah, supaya bila dapat keuntungan kita dapat kembalikan kepada mereka (penyimpan). Bukannya masuk poket orang yang ada kepenti­ngan sendiri,” katanya.

Mujahid juga tidak mahu kos pengurusan haji dilonggokkan kesemuanya kepada Tabung Haji, sebaliknya beliau minta syarikat-syarikat besar lain turut menyumbang menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Sementara itu, jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci sehingga kini ialah tujuh orang.

Mujahid Yusof berkata, enam orang meninggal di Mekah manakala seorang di Madinah.

Menurutnya, waris kesemua jemaah terlibat sudah dimaklumkan mengenai kematian mereka.

“Kebanyakan mereka mening­gal akibat jangkitan paru-paru dan batuk, sakit jantung dari Malaysia lagi dan pesakit kanser,” katanya

Beliau memberitahu, kadar kematian pada tahun ini dapat dikurangkan berikutan inisiatif yang dibuat Tabung Haji dalam aspek pencegahan jangkitan pe­nyakit.

“Kita sudah lakukan inisiatif untuk mengurangkan kematian pada tahun ini. Mereka (jemaah) diingatkan agar jaga kesihatan berikutan cuaca panas dan berhabuk.

“Doktor kesihatan awam juga pergi dari bilik ke bilik mengesan mereka yang sakit,” katanya.

Mujahid memberitahu, 104 jemaah pula sedang menerima rawatan iaitu 94 orang di pusat rawatan Tabung Haji manakala 10 di hospital Arab Saudi.

Justeru, beliau menasihatkan jemaah agar menjaga kesihatan berikutan cuaca panas menjelang wukuf pada Isnin ini.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar menjaga kebersihan supaya tidak dijangkiti penyakit berikutan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di sini bagi mengerjakan haji.