NAJIB TUN RAZAK
NAJIB TUN RAZAK

Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat terus konsisten dengan pendirian beliau menolak keputusan Presiden AS, Donald Trump ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden dan juga penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Najib berkata, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menghubungi dan meminta beliau menghadiri persidangan khas OIC kerana suara Malaysia cukup penting dalam isu itu.

“Mana mungkin tanah suci ketiga umat Islam tergadai, terhina dan ditekan oleh orang lain! Umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan, sampai bila-bila pun kita tidak akan terima cadangan ini!

“Insya-Allah, suara ahli UMNO dan juga umat Islam di seluruh Malaysia akan saya bawa dalam persidangan khas OIC pada Rabu ini di Istanbul,” katanya menerusi catatan di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib yang juga Presiden parti itu menegaskan, UMNO bukan sahaja parti untuk Melayu dan bumiputera tetapi semua rakyat.

Katanya, UMNO merupakan parti yang tepat untuk terus membawa Malaysia ke masa depan gemilang dan bukannya pembangkang yang ‘kucalana’ serta cacamarba.

Selain itu, Najib turut mengingatkan semua ahli UMNO khususnya di peringkat bahagian supaya menyelesaikan masalah melalui musyawarah dan berbekalkan semangat kekeluargaan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau juga meminta semua ahli supaya menerima keputusan siapa yang menjadi calon kerana pemilihannya tertakluk kepada parti dan bukannya hati.

“Saya meminta ahli UMNO, kita berjuang dan bertempur dengan penuh semangat serta keberanian untuk pastikan kemenangan besar. Momentum kini berada dengan kita dan kita telah buktikan kita ada agenda jelas yang telah disusun untuk Malaysia,” katanya.