Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan tersebut juga perlu meneruskan usaha dan langkah berani yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini untuk menghentikan sebarang bentuk kezaliman dengan segera.

“Teruskan perjuangan dan jangan berhenti. Ia bukan hanya membabitkan masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine di Myanmar, tetapi masyarakat lain seperti di Syria, Afrika dan juga Palestin yang telah dinafikan hak tempat tinggal.
“Oleh itu peranan kita amat pen­ting bukan sahaja terhadap mereka tetapi terhadap negara dalam usaha mengekalkan keamanan yang telah dikecapi sejak sekian lama,” katanya dalam majlis Walk for Peace anjuran Persatuan Wa­nita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA), di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden PPSEAWA, Datuk Rahmah Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pembabitan generasi lebih tua bersama dengan golongan muda dalam pelbagai aktiviti perlu bagi mencorak masa hadapan negara sekali gus dapat mempertahankan keharmonian serta keamanan negara.

“Pembabitan mereka dapat memberi peringatan kepada golongan muda betapa sukarnya untuk mengecapi kemerdekaan dahulu lebih-lebih lagi mereka (golongan muda) dilahirkan dalam negara yang aman dan makmur. Jadi ramai yang mengambil mudah.

“Oleh itu, kita harus ingat ia bukan bersifat kekal dan kita perlu sentiasa berusaha keras untuk mengekalkannya,” katanya.