Perdana Menteri berkata, penggunaan teknologi pengkomputeran awan membolehkan inovasi sistem penyampaian awam ditingkatkan tanpa pelaburan besar untuk infrastruktur teknologi maklumat (IT) dalam penyimpanan data.

“Ini akan membolehkan kerajaan menguruskan sumber kepada projek yang lebih berimpak kepada rakyat. Dengan strategi ini, kerajaan mengambil langkah ke hadapan dalam transformasi digital,” katanya ketika berucap dalam penutup Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-29 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan akan membangunkan Kerangka Kerajaan Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan dengan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“AI akan menjadi pencetus perubahan yang dapat menambah baik lagi kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE