“Saya mempunyai lapan orang anak dan tujuh daripadanya akan memulakan sesi persekolahan baru 2018. Memang rasa terbeban tetapi saya sudah mula membeli-belah barangan keperluan sekolah anak-anak secara berperingkat sejak Ogos lalu.

“Sekarang ini, saya membeli-belah barangan tambahan sahaja. Saya tengok, harga masih sama dan tidak terlalu banyak diskaun,” katanya kepada S2.

Menurutnya, tinjauan yang dilakukannya mendapati pembelian pada penghujung cuti sekolah lebih terbeban kerana peniaga mula meletakkan harga yang tinggi untuk setiap barangan.

Noor Azwa memperuntukkan perbelanjaan bagi membeli dua hingga empat pasang pakaian baru bagi setiap anaknya, selain pakaian lama yang masih boleh digunakan akan terus dipakai pada sesi persekolahan akan datang.

“Saya mempunyai dua orang anak yang tinggal di asrama penuh dan untuk mereka, saya beli empat pasang pakaian baru memandangkan mereka tinggal jauh dari rumah,” katanya yang memperuntukkan RM2,000 untuk menjelaskan yuran persekolahan kesemua anak-anaknya.

Menurutnya, dia memang berjimat dari awal kerana sedar kos barangan sekolah yang semakin tinggi.

“Apabila memikirkan tentang perbelanjaan sekolah bagi tujuh orang anak yang bersekolah, saya membuat penjimatan lebih awal. Saya mahu memastikan mereka selesa memakai pakaian baru ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Noor Azwa mengambil cuti hujung tahun bagi memastikan segala persiapan persekolahan dapat disediakan lebih awal.