Mereka ialah Dhivya Janani Mariappan dan Wee Chin Seng memperoleh lima prinsipal A serta Nur Solehah Zahari dan Leong Yean Thyn yang memperoleh empat prinsipal A.

Lebih manis, Dhivya Janani dan Chin Seng merupakan dua sahabat yang belajar di tempat sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah.

Nur Solehah pula merupakan pelajar SMK Dato' Biji Wangsa, Tumpat manakala Yean Thyn pula dari SMK Sultan Yahya Petra (1), Kuala Krai.

Pengetua SMK Dato' Mahmud Paduka Raja (1), Kamaruzaman Zakaria berkata, kejayaan Dhivya Janani dan Chin Seng yang masing-masing merupakan anak penoreh getah serta pemandu lori membanggakan seluruh warga sekolah.

Kata beliau, kebanggaan warga sekolah itu berganda kerana seramai enam pelajarnya termasuk Dhivya Janani dan Chin Seng memperoleh keputusan cemerlang semua A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

"Alhamdulillah, berkat komitmen ikhlas guru-guru tingkatan enam, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelajar sendiri telah berjaya menghasilkan kecemerlangan dalam STPM 2018 sekali gus mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan.

"Kejayaan ini mencerminkan wujudnya amalan permuafakatan, sikap saling memahami dan kerjasama yang erat dalam kalangan warga sekolah ini," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat dalam sidang akhbar memberitahu, dalam STPM 2018, seramai 59 calon di negeri ini memperoleh PNGK 4.00 berbanding 41 orang dalam STPM 2017.

Katanya, pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri ini ialah 2.98, mengatasi PNGK kebangsaan 2.80 manakala peratus lulus penuh calon pula ialah 99.48 peratus atau 3,417 orang, berbanding 98.67 peratus di peringkat kebangsaan.

"Sebanyak 49 daripada 59 sekolah bantuan kerajaan di negeri ini mencapai kelulusan 100 peratus manakala baki 10 sekolah lagi mencapai kelulusan 93 peratus ke atas.

"SMK Dato' Mahmud Paduka Raja (1) di Tanah Merah mempunyai paling ramai pelajar memperoleh PNGK 4.00 iaitu enam orang diikuti SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh (5 orang),SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas (5 orang) dan SMK Tengku Panglima Raja (5 orang)," katanya. - UTUSAN ONLINE