Pengerusi MPM, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, tujuan mata pelajaran itu ditawarkan adalah menyediakan laluan pengajian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki Kurikulum Tahfiz Bersepadu Tahfiz bagi melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat STPM.

“Mulai kohort STPM 2020 depan, peperiksaan pertamanya akan diadakan pada semester satu pada bulan November tahun ini dan mata pelajaran ini juga telah diluluskan Kementerian Pendidikan.

“Usaha ini merupakan satu pembaikan serta membuka peluang kepada pelajar aliran tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan keputusan STPM 2018 dan Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Malaysia (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2018 dan majlis itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.