Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, usaha yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu diambil bagi memastikan bekalan atau produk hasil tani yang dihantar ke ­ MyFarm Outlet sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum dijual.

“Sekarang bekalan ha­sil tani yang dihantar ke MyFarm Outlet adalah bekalan harian daripada pekebun dan peladang. Keadaan iklim yang tidak menentu mungkin menyebabkan sayur-sayuran yang dihantar pada waktu pagi kurang segar atau layu untuk dijual pada sebelah petang.

“Sehubungan itu, kita mengambil inisiatif me­wujudkan stor pendingin­ untuk memastikan hasil tani yang dihantar ke se­mua MyFarm Outlet sentiasa segar,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Badruddin menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang FAMA 2017 yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Yang hadir sama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Menurut Badruddin, MyFarm Outlet menyediakan saluran pasaran pilihan terbaik kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan keperluan harian dengan harga berpatutan kerana hasil tani dibekalkan secara terus kepada penjual tanpa melalui orang tengah.

Mengulas mengenai peranan FAMA dalam mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), Badruddin berkata, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 100,000 usahawan menerusi program Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis) menjelang 2050.

“Sasaran itu selari dengan visi TN50 yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Oleh itu, FAMA bersedia membantu penuntut untuk melibatkan diri dalam budaya niaga yang mampu menjanjikan pendapatan lumayan sebaik sahaja mereka bergelar siswazah.

“FAMA sekarang ini ke arah TN50 dan kita kena ambil peluang pertumbuhan ekonomi yang ada di dalam negara kita ini, oleh itu, kita akan latih anak-anak muda ini menjadi seorang usahawan dan meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan pada masa akan datang,” katanya.