Ia dibuat sebegitu rupa untuk mengujakan para pengguna berserta reka bentuk arkitektur yang mengagumkan.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp., Datuk Najmuddin Abdullah, pengguna MRT akan dapat menikmati keindahan tujuh buah stesen daripada 19 buah stesen fasa kedua itu, yang reka bentuk setiap stesen adalah berbeza dengan stesen lain yang ke­semuanya menggambarkan unsur kehidupan rakyat Malaysia.

Bermula dengan stesen Muzium Negara, diperlihatkan evolusi mod pengangkutan awam Malaysia daripada bas, teksi hingga kereta api selain nostalgia orang ramai menggunakan pengangkutan tersebut.

“Di stesen Muzium Negara berdekatan stesen KL Sentral, kita boleh melihat pada setiap tiang gambar teksi, bas dan kereta api dari generasi lama hingga sekarang,” kata Naj­muddin kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, di stesen Pasar Seni yang menghubungkan laluan LRT Kelana Jaya, ia mempamerkan aspek kebudayaan, seni dan kraf bagi mempromosikan wari­san budaya negara melalui visual.

Aspek patriotisme juga tidak dilupakan apabila elemennya diperlihatkan pada Stesen Merdeka yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.

Najmuddin berkata, di situ terdapat mural yang memperlihatkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangannya ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

“Kita tahu dinding itu akan menjadi popular dengan pengguna apabila stesennya dibuka. Setiap rakyat Malaysia pasti akan berswafoto pada din­ding itu,” katanya.

Beliau berkata, di Stesen Bukit Bintang, suasananya menggambarkan kedinamikan dan kece­ria­an kawasan persekitaran Bukit Bintang sebagai hab perniagaan utama.

Stesen itu direka bentuk de­ngan hasil seni berwarna merah bagi menggambarkan kedinamikan, katanya.

“Sebelum ini ia seolah-olah mimpi negeri untuk kita mema­suki Bukit Bintang dari segenap arah, tapi kini MRT berada di tengah-tengahnya,” tambahnya.

Najmuddin berkata, konsep Perbadanan Islam pula diperlihatkan di Stesen Tun Razak Exchange yang menggambarkan suasana kontemporari, formal serta korporat selari dengan usaha kerajaan untuk mempromosi negara sebagai dunia korporat Islam.

Dua stesen terakhir iaitu Cochrane dan Maluri mewakili kehidupan bandar dan generasi baharu dengan nukilan seni kontemporari yang vibran, urban dan bersifat remaja, ujar beliau. – bernama

Namun setelah dihiasi dengan karya-karya yang mengagumkan, MRT Corp tidak melupakan aspek keselamatan penumpang di stesen-stesen bawah tanah tersebut.

“Ia berada dalam kelas terbaik dan berteknologi paling canggih,” kata Najmuddin.

Beliau berkata, sistem keselamatannya membolehkan sebarang kecemasan ditangani dengan segera dan efisien yang kesemua stesen dilengkapi sistem memadam kebakaran automatik selain sistem siaraya untuk memudahkan penyuraian penumpang secara beramai-ramai.

Menurut Najmuddin, stesen bawah tanah bagi Laluan SBK mengutamakan peralatan teknologi hijau bagi menjana kecekapan tenaga di samping tidak melupai keselesaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

“Pintu tiketnya cukup luas hingga membolehkan penumpang berkerusi roda mudah melaluinya, terdapat juga elevator dari paras bawah hingga tingkat konkos dan platform, tanda huruf braille pada butang lif serta laluan tanpa bertangga,” katanya.

Beliau berkata, setiap stesen turut disediakan pembantu yang mencukupi, sistem kawalan keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV)dan telefon khas untuk mendapatkan bantuan. – BERNAMA