KAMPAR 21 Ogos – Penggubalan polisi, undang-undang termasuk pelaburan besar dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu menjadi keutamaan segera bagi menghadapi perubahan teknologi yang membawa impak kepada ekonomi dan politik khususnya dalam dunia pekerjaan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keberhasilannya bagaimanapun bergantung kepada pengawal seliaan efektif serta pengurusan teknologi baharu dan kekayaan yang terhasil bagi manfaat besar semua pihak tanpa membawa kepada sebarang ketidaksamaan.
Bagi menghadapi ketidaktentuan dunia pada masa depan, baginda juga mencadangkan agar perspektif sejarah yang menyaksikan kemajuan manusia menerusi sains dan teknologi pada masa lampau, boleh dipelajari, terutamanya melibatkan peranan dimainkan oleh institusi sosial dan politik dalam memastikan manfaatnya secara menyeluruh.
“Adalah sukar untuk merangka strategi mengenai masa depan yang tidak diketahui. Oleh itu, ketika ini perlu ada lebih banyak analisis dan debat melibatkan orang awam mengenai pelbagai senario pada masa depan termasuk implikasinya.
“Semakin banyak inisiatif ke arah masa hadapan mula berkembang termasuk permintaannya, justeru usaha harus ditingkatkan dan diperhebat. Pelaburan besar dalam bidang pendidikan STEM mesti menjadi keutamaan segera bagi memastikan analisis dan debat ini disokong dengan pendekatan ilmiah dan kritikal,” titah baginda.
Sultan Nazrin selaku Penaung Diraja bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian Kem Sains Asia 2017 yang julung-julung kali diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.
Lebih 250 peserta antarabangsa menyertai kem sains berkenaan.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan merangkap Ahli Majlis UTAR; Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid dan Presiden UTAR, Prof. Ir. Datuk Dr. Chuah Hean Teik.
Kem selama seminggu bermula semalam yang bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang STEM itu dianjurkan oleh Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF) dengan kerjasama ASEAN Academy of Engineering and Technology (AAET), Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM).
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, pelbagai jenis pekerjaan fizikal, kolar biru dan putih, bidang perkhidmatan termasuk dari lapangan STEM seperti sektor perubatan, bakal terkesan apabila tugas manusia digantikan dengan mesin yang mengguna pakai kombinasi artificial intelligence (AI) dan robot.