Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan berkata, apabila sudah menandatangani perjanjian, Malaysia perlu mengikut setiap peruntukan ditetapkan tanpa sebarang pengecualian.

DR. FAREED MOHD. HASSAN
DR. FAREED MOHD. HASSAN

“ICC ini bukan seperti Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mana kita boleh pi­lih peruntukan yang mana untuk dilaksanakan di negara kita. Sama ada kita jadi ahli dan perlu ikut semua peruntukan, atau langsung tidak jadi ahli.

“Berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak akan menerima ‘perkara pelik’ yang bercanggah Perlembagaan Persekutuan, ia salah. Mungkin Dr. Mahathir atau penasihat beliau tidak ambil maklum atau tidak faham akan perkara ini.

“Atas sebab inilah ada negara-negara yang mengambil pendirian untuk tidak menandatanganinya. Kerana setelah kita jadi ahli, ICC akan jadi lebih tinggi dari Perlembagaan Persekutuan dan kita tertakluk kepada peruntukannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, adalah tidak wajar untuk Malaysia tergesa-gesa menandatangani perjanjian berke­naan pada masa ini kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beberapa undang-undang, ter­utama Perlembagaan Persekutuan harus diperhalusi dan dipinda sebelum Malaysia menjadi negara ahli kepada ICC ini bagi mengelakkan sebarang ketidakmampuan atau ketidakmahuan Malaysia bagi menangani jenayah-jenayah tersebut dalam negara, terutama bagi memelihara kedudukan dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong (dan Raja-raja Melayu yang lain).

“Negara-negara jiran yang lain yang mempunyai sistem pemerintahan beraja atau raja berperlembagaan seperti Brunei dan Thailand dan juga negara-negara lain seperti Oman, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan sebagainya tidak menganggotai atau menjadi ahli Statut Rom,” katanya.