Perkara itu diluahkan empat orang tukang masak dan seorang rakan kongsi yang pernah bekerja di restoran tersebut.

Seorang tukang masak, Hafizee Ismail, 29, berkata, perkara itu menjadi keraguan apabila dia ternampak daging lembu diletakkan dalam peti sejuk sama dengan daging babi.

“Saya pernah diminta ke kilang pembekal untuk memotong daging dan ketika itulah ternampak perkara tersebut bahkan alatan memotong daging tidak diasingkan.

“Perkara ini pernah diajukan kepada pemilik, namun selepas beberapa lama saya ke sana semula, tiada perubahan seperti dijanjikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, barangan dapur diperoleh dari kilang dimiliki oleh pemilik yang sama dengan restoran tempat dia bekerja.

“Persatuan halal yang kononnya mengiktiraf sijil halal di restoran tersebut sebenarnya ditubuhkan oleh pemilik sendiri dan tidak pernah mendapat pengesahan daripada mana-mana pertubuhan halal di Jepun.

“Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pelancong Islam singgah ke restoran tersebut dan mengaut lebih keuntungan,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua bekas pekerja restoran itu kesal dan berharap perkara ini menjadi perhatian pihak bertanggungjawab serta dapat menghalang orang Islam dari Malaysia makan di situ. - UTUSAN ONLINE