Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penghasilan standard itu penting dalam usaha memajukan lagi industri madu kelulut dan mengangkat bahan makanan tersebut sebagai 'super food'.

Menurut Ahmad Shabery satu pasukan pelbagai agensi telah dibentuk termasuk Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Genom Institut (MFI) dan Jabatan Standard Malaysia.

"Pasukan yang diketuai oleh MARDI kini sedang mengadakan jelajah di seluruh negara untuk memungut sampel.

"Setakat ini 203 sampel madu kelulut telah dikutip dan pelbagai analisis sedang dijalankan termasuk fisikokimia, mikrobial, pencemaran bahan logam, pestisaid serta kandungan bahan antioksidan," kata Ahmad Shabery.

Pembangunan standart mengambil kira perkara dalam Akta Makanan 1983 dan Pemakanan Makanan 1985. Akta tersebut mensyaratkan madu mesti mengandungi air tidak melebihi 20 peratus manakala kandungan gula penurun tidak kurang 60 peratus.

Oleh kerana madu kelulut tidak mempunyai fisiokimia yang sama dengan madu biasa justeru standard madu kelulut perlu diwujudkan.

Ahmad Shabery turut menegaskan standard madu kelulut perlu ada bagi memudahkan pemasaran termasuk bagi tujuan eksport.

"Ketika ini banyak negara berminat dengan madu kelulut termasuk China dan negara Timur Tengah. Mereka turut buat kajian dan mendapati madu kelulut lebih baik dari madu biasa.

"Standard itu penting dan madu kelulut masih tidak ada. Jika kita mahu pasarkan madu kelulut termasuk pasaran antarabangsa kita perlukan standard ini," jelas Ahmad Shabery.

Ahmad Shabery ditemui selepas majlis perlepasan Duta Kelulut Walk, Sabri Ali di sini pagi tadi.

Sabri memulakan program Kelulut Walk sejak 8 Oktober lalu di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor dan dijangka berakhir di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 4 Disember dengan berjalan kaki sejauh 2,000 kilometer merentasi 14 negeri dalam tempoh 54 hari.

Kelulut Walk dianjurkan sempena Pameran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang berlangsung pada 1 hingga 11 Disember. Sehingga kini Sabri telah merentasi 9 negeri dan berjalan kaki secara solo sejauh 1,012 kilometer.

Kejayaan Sabri akan dicatat dalam Malaysia Book of Record sebagai pejalan kaki solo paling jauh di Malaysia. - UTUSAN ONLINE