AKIM dan Stacy Anam dijadual diijabkabulkan di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

“Rasanya semua lelaki pun akan mengalami perasaan yang sama pada fasa ini tetapi saya cuba untuk tenangkan diri. Saya tidak mahu rasa gementar itu menyelubungi dan mengganggu diri saya sewaktu akad nikah.

“Latihan akad nikah pun sebenarnya saya tak lakukan. Biar semuanya berjalan secara semula jadi tanpa paksaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai peranca­ngannya selepas berkahwin, jelas Akim, dia akan cuba selesaikan kerjanya dahulu sebelum merancang untuk berbulan madu.

“Buat masa ini saya masih bersama dengan Mentor Milenia manakala Stacy pula dalam rangka promosi single terbaharunya berjudul Romeo. Selepas selesai semua kerja, barulah saya dan Stacy akan ambil cuti seketika dan berbulan madu,” jelasnya.

Buat masa ini, lokasi pilihan untuk bulan madu mereka masih belum dibincangkan sebaliknya mahu fokus kepada majlis perkahwinan dan kerja dahulu.

Pasangan ini telah bertunang pada 26 September lalu dan membuat keputusan untuk tidak terlalu lama berada dalam tempoh pertunangan.