ROSYAM NOR
ROSYAM NOR

Kebanyakan golongan itu lebih cenderung untuk menjalankan perniagaan seperti mengeluarkan produk kosmetik di bawah jenama sendiri, pakaian serta tudung yang kini makin menjadi trend di dalam negara.

Namun begitu, berlainan pula buat penerbit dan pelakon terkemuka tanah air, Datuk Rosyam Nor, 51, yang memilih bidang perniagaan runcit sebagai pelaburan masa hadapan.

Idea untuk membuka pasar raya ST Rosyam Mart tercetus dua tahun lalu yang akan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.

“Niat saya hanya nak mengurangkan bebanan rakyat dengan harga barangan yang makin tinggi. Lebih-lebih lagi perayaan Hari Raya Aidilfitri pun sudah hampir tiba, sudah semestinya pembeli akan berhadapan dengan harga barangan yang mahal.

“Tetapi di ST Rosyam Mart, saya menjanjikan barangan yang dijual di sini adalah paling murah di dalam pasaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut pelakon filem KL Special Force ini, pasar raya berkeluasan 13 lot unit kedai yang terletak di Setiawangsa itu turut menjanjikan suasana se­perti berada di dalam sebuah pasar raya mewah tetapi harga barangan ditawarkan mampu milik.

“Saya nak mereka (pembeli) rasa ibarat berada di dalam pasar raya yang bertaraf tujuh bintang. Saya pun tak me­nyangka gambar pasar raya saya dah tular di media sosial sewaktu hari pertama di buka pada Jumaat lalu. Ia sebenar­nya bukan pembukaan yang rasmi lagi.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri ini, saya akan buat majlis pembukaan pasar raya tersebut secara rasmi,” jelasnya.