Dengan tempoh berbaki empat minggu sahaja lagi, namun masih ada beberapa perkara pokok yang belum diselesaikan apabila pe­rincian berkenaan barang-barang yang akan dikategorikan sebagai barangan berkadar lima peratus dan 10 peratus masih belum dimuktamadkan.

Malah, model cadangan pelaksanaan SST yang dirangka Jabatan Kastam Diraja (JKDM) juga difahamkan tidak melibatkan perundingan dengan industri.

Ini seperti yang disebut seorang wakil sebuah pertubuhan akauntan dalam sesi soal jawab sempena Majlis Taklimat Penerangan Pelaksa­naan SST Bersama Industri yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam di Auditorium Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan dekat sini hari ini.

Malah dalam sidang akhbar kemudian, Subromaniam me­ngakui, sistem baharu untuk urusan pembayaran dan pemfailan SST yang akan dilaksanakan secara elektronik juga masih diba­ngunkan dan dijangka siap bulan depan kerana pihaknya tidak menggunakan sistem untuk GST sebelum ini.

Mengenai perincian senarai barangan pula, setakat ini kata beliau, hanya barangan berkadar sifar peratus yang disenaraikan dalam portal rasmi JKDM.

“Barangan berkadar lima peratus dan 10 peratus kita akan tentukan minggu hadapan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau memaklumkan satu mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan SST yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar akan berlangsung Isnin hadapan yang mungkin membincangkan perkara tersebut.

Menggantikan GST dengan SST merupakan janji pertama Pakatan Harapan dalam manifesto mereka dan menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, cukai tersebut akan dilaksanakan bermula 1 September ini.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, JKDM yakin mampu me­laksanakan SST dengan baik memandangkan sebelum ini pihak­nya telah berjaya melaksanakan GST yang lebih rumit dan luas.

“Kalau kita boleh laksanakan GST yang lebih rumit dengan ja­yanya, saya tidak melihat kenapa kita tidak boleh laksanakan SST yang mana keterangkumannya lebih kecil dan tidaklah serumit GST,” katanya.