Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) telah menjanjikan bahawa harga barang akan turun selepas ketiadaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Namun jelasnya, perkara tersebut tidak berlaku malah rakyat dibebani pula dengan pengenalan SST yang diketahui tidak efisien dan akan mengurangkan pendapatan negara.

“Bukan hanya kos sara hidup tidak menurun, malahan rakyat akan dibebani dengan kadar SST iaitu sebanyak enam peratus bagi cukai perkhidmatan serta 10 peratus bagi cukai jualan.

“Masanya kini tiba iaitu rakyat dihidangkan dengan kadar cukai SST yang lebih tinggi daripada GST dan kerajaan PH dilihat tidak keruan mencari jalan untuk mengelak daripada dihentam rakyat akibat tindakan semberono mereka mengenakan cukai SST. Tugas ini dianggap mustahil dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelihatan berseorangan dalam menangani kelemahan dan implikasi sistem SST ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam Guan Eng berkata, Akta SST yang akan dibentang di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus untuk cukai jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan.

Menurutnya, jika akta tersebut diluluskan, pelaksanaan SST akan bermula 1 September ini. - UTUSAN ONLINE