Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, cukai hanyalah satu komponen kecil dalam penentuan harga dan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam masa terdekat ini tidak sepatutnya menaikkan harga barang secara besar-besaran.

“Selain cukai, ada banyak lagi faktor kenaikan harga barang yang di luar kawalan kita, contohnya (konsep) permintaan dan penawaran.

“Tambahan lagi, senarai barang yang dikenakan SST adalah kurang berbanding yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), jadi saya minta peniaga jangan ambil kesempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Taklimat Penerangan Pelaksanaan SST Bersama Industri di Auditorium Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Paddy Abd. Halim, Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusof, Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai (Cukai Tidak Langsung dan GST), M. A. Sivanesan dan Ketua KPMG (Utara), Datuk Ooi Kok Seng.

Senarai barang dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai telah dimuat naik ke portal rasmi JKDM di pautan www.customs.gov.my bermula hari ini.

Sebarang maklumat berkenaan pelaksanaan SST turut boleh diperoleh melalui portal berkenaan. - UTUSAN ONLINE