Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, jika situasi tersebut tidak dibendung, ia akan membebankan rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“SST ini bukan perkara baharu sebelum perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lagi. Meskipun SST ini diperingkat pengilang dan pembekal, tetapi saya percaya kenaikkan (harga barang) tetap berlaku.

“Harapan kita, kerajaan dapat mengawal kenaikan kos ini. Kalau ini berlaku, beban dan kesannya terpaksa ditanggung khususnya melibatkan golongan B40,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Sementara itu, CUEPACS terus menaruh harapan agar kerajaan dapat mengkaji pelaksanaan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada penjawat awam.

Kata Azih, dalam berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, kenaikkan itu perlu khususya bagi penjawat awam yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Johor dan Selangor.

Dalam masa sama, beliau juga berharap kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan penjawat awam dalam pembentangan Bajet 2019 tidak lama lagi.

“Kita sudah sebaris dengan negara- negara maju, sudah tentu sumbangan diberikan kakitangan awam telah menyumbang kepada imej negara ini.

“Jadi setiap kali Bajet, mereka (penjawat awam) perlu diberikan pengiktirafan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Menteri Besar, beliau memberitahu, kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara CUEPACS dan kerajaan negeri.

“Perlis adalah negeri pertama yang kita datang sebelum siri kunjungan ini diteruskan ke negeri-negeri lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE