Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd. Khalid berkata, sehingga 31 Ogos lalu, perbadanan tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM463.7 juta iaitu 77.28 peratus daripada jumlah sasaran.

“Sekarang sehingga 31 Ogos 2018, SSPN sudah ada 3.6 juta akaun dengan depositnya yang dikutip sebanyak RM3.8 bilion.

“Untuk tahun 2018 ini, kita menyasarkan 350,000 akaun baharu dan sehingga 31 Ogos lepas kita telah mencapai 434,000 akaun,” katanya ketika merasmikan Kempen #BasDi­diSSPN di sini hari ini.

Terdahulu, Mastura melancarkan kempen #BasDidiSSPN dalam usaha menyedarkan ibu bapa tentang kewujudan SSPN sebagai pilihan untuk merancang kewangan bagi tujuan pengajian tinggi anak-anak sejak awal lagi.

Sebanyak lima buah bas Ra­pid yang ditampal dengan poster memaparkan watak kartun po­pular Didi & Friends digunakan bagi tujuan kempen berkenaan.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Durian Digital Ani­mation Studio Sdn. Bhd. (DD Animation), Sinan Ismail.

Dalam pada itu, Sinan berharap kerjasama pihak SSPN dan DD Animation dapat mempertingkatkan kesedaran ibu bapa untuk menabung demi masa depan pendidikan anak mereka kelak.

“Pihak kami mengharapkan lebih banyak projek kerjasama diadakan bersama SSPN dan kita akan ada pengumuman-pengumuman selepas ini. Sambil kita bergembira, kita semai juga budaya menabung ini,” katanya.