Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, setakat ini, sebanyak 1,229 usahawan dari lima negeri iaitu Melaka, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak memperoleh manfaat daripada program Bizgrant berkenaan.

“Setiap usahawan menerima barangan untuk kegunaan perniagaan bernilai RM3,000 dan kini geran berkenaan masih berbaki RM6.3 juta.

“SSM akan meneruskan jelajah bagi memberi pendedahan dan membantu mengembangkan usahawan baharu di negeri-negeri lain pada tahun depan. SSM akan berada di Kedah pada 1 Disember ini bagi mencari usahawan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program Desaprenuers @Uniten di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor Uniten KSHAS, Prof. Dr. Salina Daud dan Ketua Seksyen Operasi SSM negeri, Zaidah Mohamed Zainun.

Seramai 200 usahawan sekitar Muadzam Shah menyertai kursus jangka pendek Desa­[email protected] KSHAS sejak 17 Oktober lalu dan hari ini 76 orang daripada mereka menerima geran masing-masing.

Kursus jangka pendek tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada usahawan kecil mengenai pengurusan perniagaan terkini agar dapat bersaing di pasaran terbuka.

Menurut Mohamad Shahren, usahawan yang menerima ge­ran sentiasa dipantau dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka seperti dihasratkan.

“Bantuan tambahan juga akan diberikan kemudian sekiranya penerima benar-benar menjalankan perniagaan dan berjaya,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­nerima yang juga mahasiswa Uniten, Shakir Luqman Sapawi, 21, berkata, dia yang menjalankan perniagaan nasi goreng di institut pengajian tinggi sekitar Muadzam Shah dan Gambang dekat sini menerima sebuah peti sejuk beku.

“Dengan adanya peti sejuk beku itu saya dapat melipatgandakan pengeluaran iaitu membuat perencah nasi goreng dalam kuantiti yang banyak dan mudah untuk disimpan.

“Perniagaan nasi goreng atas jenama Nagoden ini diilhamkan bagi memudahkan rakan-rakan mahasiswa membuat tempahan,” katanya.

Bagi Muhammad Amin Amizan, 22, pula, dia menerima sebuah kamera DSLR bagi me­ngembangkan perniagaan per­khidmatan fotografi.

“Sebelum ini saya hanya menggunakan kamera terpakai. Dengan adanya geran SSM pas­tinya impian untuk mengembangkan perniagaan dapat direalisasikan,” kata penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) itu.