Satu daripada usaha kerajaan memastikan bidang seni melakar masa depannya sendiri ia­lah dengan mewujudkan Sekolah Seni Malaysia (SSeM). Jika sekolah sukan diwujudkan untuk melahirkan atlet, begitu juga SSeM bertujuan melahirkan tenaga dan penggiat seni profesional.

Di SSeM, mereka diajar pelbagai cabang bidang seni secara formal dan sistematik. Malah mereka mempunyai misi tersendiri iaitu melahirkan karyawan seni Malaysia bertaraf dunia.

Menerusi SSeM yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan, pelajar mendapat pendidikan akademik dan seni secara seimbang bermula dari peringkat sekolah menengah.

Tujuan utamanya memastikan bidang tersebut terus berkembang dan terpelihara bagi ge­nerasi akan datang sekali gus memberikan anak-anak muda berkarya dalam bidang seni.

Contohnya SSeM di Johor yang dibuka untuk pelajar dari seluruh negara menawarkan Pendidikan Seni melibatkan Muzik, Tari, Teater atau Seni Visual. SSeM Johor bukan sahaja mengasah bakat mereka tetapi membentuk kerjaya dalam bidang seni.

SSeM Johor yang beroperasi sejak 2007 di Johor Bahru dan kini memiliki bangunan sendiri di Bandar Seri Alam, Masai, Pasir Gudang, dilengkapi pelbagai kemudahan kesenian terkini untuk pembelajaran pelajaran mereka bermula pada 2014.

Menurut Penge­tuanya, Rohana Ismail, 58, SSeM Johor kini menjadi ‘institusi’ mengeluarkan pelajar yang mempunyai potensi dan bakat seni malah hingga berjaya mendapat pelbagai anugerah pencapaian terbaik individu ataupun peringkat sekolah dalam dan luar negara.

“Para pelajar SSeM Johor sentiasa dipilih untuk mewakili negara dalam pameran, persembahan mahupun pertandingan kesenian yang diadakan dalam dan luar negara.

“Sehubungan itu, setiap pelajar di SSeM Johor diberi didikan terbaik mengenai semua aspek seni yang ditawarkan daripada Muzik, Tari, Teater dan Seni Vi­sual.

“Ini termasuk pengkhususan seni tertentu untuk mereka membawa diri dalam bidang seni ma­sing-masing selepas tamat persekolahan nanti,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Rohana memberitahu, ketika ini terdapat 66 tenaga pelajar di SSeM Johor dengan 340 pelajar dari tingkatan satu hingga lima. Setiap tingkatan pula mempunyai tiga kelas yang terdiri daripada sekitar 25 pelajar.

“Dengan jumlah pelajar yang tidak ramai dalam sesuatu kelas, tenaga pengajar dapat memberi penumpuan lebih kepada pelajar untuk menggalakkan dan me­ngenal pasti potensi mereka dalam menceburi bidang seni yang diminati,” ujarnya.

Jelasnya, setiap pelajar yang dipilih melanjutkan pelajaran di SSeM Johor akan tinggal di asrama yang disediakan. Sesi pem­belajaran bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 3.10 petang melibatkan tiga jam untuk pembelajaran seni dan selebihnya belajar subjek akademik.

“Bagi pelajar dari tingkatan satu hingga tiga, mereka akan mempelajari semua subjek seni seperti Muzik, Tari, Teater dan Seni Visual sebelum memilih satu bidang seni pengkhususan mereka untuk lanjutan pembelajaran pada tingkat empat hingga lima,” ujarnya.

SSeM Johor juga katanya, memberi peluang kepada murid lepasan Ujian Pencapaiam Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat keputusan minimum iaitu lulus sesi serlahan seni dan mendapat keputusan minimum 3B dalam UPSR.

Rohana berkata, walaupun subjek seni merupakan keuta­maan dalam SSeM Johor, pihak sekolah juga menitiberatkan pem­­belajaran akademik seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Agama hingga sekolah itu mendapat tempat kedua cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi daerah Pasir Gudang baru-baru ini.

Selain itu ujarnya, antara pencapaian terbaik SSeM Johor se­perti Johan Kebangsaan Pertan­dingan Main Zapin dan Tingkah Zapin 2016 serta memenangi emas dalam kategori tulisan rumi, perak dan gangsa untuk Tulisan Jawi dan Kaligafi Cina di International Caligraphy Painting Competition and Appreciation to The Beauty, mewakili Malaysia pada International High School Arts Festival ke-17 di Jepun.

Mengenai cabarannya sebagai Ketua Tenaga Pengajar di SSeM Johor, Rohana yang mempu­nyai latar belakang sebagai guru Pendidikan Jasmani mengakui pada peringkat awal agak sukar ba­ginya berinteraksi dan memahami emosi pelajar.

Jelas beliau, kaedahnya berbeza berbanding berurusan de­ngan pelajar biasa kerana mereka mudah beremosi dan perlu diberi galakan dengan lemah-lembut serta tiupan semangat.

“Kita tidak boleh membuat mereka rasa tertekan dan perlu memujuk mereka dengan cara baik, jika emosi pelajar terganggu, ini akan mengganggu pres­tasi mereka ketika melakukan persembahan seni dalam pertandi­ngan mahupun di khalayak awam,” ujarnya.

Tambahnya yang sudah tujuh tahun menjadi Pengetua SSeM Johor, tiga tahun pertama adalah waktu yang sukar untuk­nya me­ngadaptasi suasana pem­belajaran seni dan menguruskan tenaga pengajar dan pelajar. Namun selepas itu semuanya mudah dan sudah ‘terbiasa’.

Beliau kini berbangga ke­rana hampir keseluruhan pelajar lepasan SSeM Johor berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang seni dan kebudayaan selain melanjutkan pelajaran di universiti ataupun Insititut Pendidikan Guru (IPG).

Bagi pelajar yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang seni dan berminat memasuki SSeM Johor, boleh mendaftar secara dalam talian di laman web Kementerian Pendidikan.